Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof merasmikan Buku Penyelidikan Isu Hal Ehwal Islam Negeri Selangor sempena dengan majlis perasmian penutup simposium kajian Islam semasa peringkat Negeri Selangor di Hotel Acappella, Shah Alam pada 20 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais terbit buku penyelidikan, sebar luas kefahaman hal ehwal Islam Selangor

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerbitkan buku penyelidikan yang menghimpunkan enam kajian bagi isu hal ehwal Islam Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penerbitan itu dihasilkan oleh penyelidik yang dilantik pihaknya dalam menyelesaikan isu umat Islam di negeri ini.

“Sejak 2019, sebanyak 26 kajian membabitkan penyelidik dari tujuh institusi pengajian tinggi seluruh negara dan enam kajian diterbitkan dalam buku penerbitan penyelidikan siri 1 Mais.

“Antaranya, fatwa hibah Selangor: penyelesaian isu-isu Fiqh dalam pelaksanaan hibah dan pelaksanaan pendidikan khas untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Rendah Agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Simposium Kajian Islam Semasa peringkat Selangor anjuran bersama Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jais dan Pusat Pemikiran dan Kajian Islam, Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES).

Terdahulu simposium membabitkan penyelidik daripada pelbagai IPT, institusi dan agensi itu bertujuan memberi pendedahan serta pengetahuan kefahaman kepada masyarakat berhubung maklumat terkini berkaitan hal ehwal Islam dalam negeri itu.


Pengarang :