Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Anugerah Buku Negara iktiraf usaha Selangor terjemah karya agung

TANJUNG MALIM, 21 DIS: Anugerah utama yang diterima Dato’ Menteri Besar dalam Anugerah Buku Negara 2023 hari ini dianggap pengiktirafan buat Selangor yang giat menterjemah karya agung.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan lebih 60 judul daripada pelbagai latar belakang dan bahasa diterjemah antaranya menerusi Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang ditubuhkan sejak 2016.

“Ini bukan kemenangan peribadi tetapi pengiktirafan buat Selangor yang mempunyai projek pencerahan rakyat menerusi terjemahan karya agung, diskusi termasuk penganjuran pesta buku yang memberi impak baik kepada pembaca dan penerbit.

“Malah, penggal ini kita mula beri baucar buku di universiti dalam Selangor dan Lembah Klang yang akan dilebar serta diperhebat,” katanya ditemui di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Amirudin menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menerima anugerah utama dalam Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau memaklumkan anugerah yang diterima akan terus menjadi pemangkin untuk Selangor menghasilkan lebih banyak karya berkualiti daripada penulis berpengalaman.

“Dengan anugerah ini, sudah pasti kita akan mencari buku-buku daripada penulis berkualiti, pelajar baik sebagaimana dianjur Hadiah Sastera Selangor.

“Ini usaha berterusan dan wajar diteruskan sebagai sebuah kerajaan serta pentadbiran demi memastikan rakyat tercerah selain mempunyai pemikiran rasional,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar turut menyerahkan trofi kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Prolifik Dalam Memartabatkan Buku Negara menerusi buku berjudul G.R.E.A.T!.

Perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Khas Perdana Rakan Strategik Terbaik Dalam Memartabatkan Industri Buku Negara kepada Majlis Profesor Negara, manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pula menerima Anugerah Khas Penggerak Industri Buku Negara.

Turut berlangsung peluncuran buku Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains & Teknologi dalam al-Quran tulisan Dr Muhammad Nazir Mohamed Khalid bersama pengarah jabatan pendidikan Perak dan Wilayah persekutuan Kuala Lumpur.


Pengarang :