BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

MB: Sultan inspirasi Kerajaan Negeri prihatin kebajikan rakyat

Patik yang mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta barisan penjawat awam pentadbiran Kerajaan Tuanku, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-78.

Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan.

Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi buat patik dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesentosaan negeri.

Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara yang kita cintai terus aman, makmur dan stabil.

Sekali lagi patik mewakili rakyat jelata mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku senantiasa dilindungi Allah SWT agar Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kedaulatan dan kebesaran.

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
11 Disember 2023
27 Jamadilawal 1445


Pengarang :