Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap takziah buat keluarga budak autisme ditemui meninggal dunia

SHAH ALAM, 7 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia malam tadi.

“Takziah diucapkan buat keluarga adik Zayn Rayyan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” katanya ringkas di Facebook hari ini.

Mayat Zayn Rayyan berusia enam tahun ditemui sekumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember.

Mangsa yang lengkap berpakaian sekolah ditemui terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Zayn Rayyan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran kediaman itu dan kehilangan disedari ibunya ketika menaiki tangga ke rumah di tingkat tiga kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Jenazah kanak-kanak itu dijangka dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh selesai.

 


Pengarang :