Anggota penguatkuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) memeriksa premis makanan dalam Operasi Bersepadu pada 15 Disember 2023. Foto Facebook MDSB
PBTSELANGOR

MDSB keluarkan 26 kompaun peniaga gagal patuh syarat lesen

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengeluarkan 26 kompaun terhadap pengusaha di beberapa premis makanan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan kesalahan dikesan termasuk tidak memasang dan menyelenggara perangkap minyak, tidak mendapatkan suntikan anti tipoid serta beroperasi tanpa lesen.

“Modus operandi digunakan adalah dengan menerjah gerai atau kedai, memeriksa pemasangan perangkap minyak dan penyelenggaraan sepertimana tertera dalam syarat pelesenan MDSB.

“Turut diperiksa kad suntikan anti tipoid semua pengendali makanan, sijil kursus pengendalian makanan termasuk lesen, longkang dan persekitaran premis,” katanya menerusi Facebook.

Operasi pada 15 Disember lalu melibatkan anggota Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penilaian dan pengurusan harta.

Premis diperiksa di Sekinchan membabitkan Gerai MDSB Jalan Persekutuan, Pusat Penjaja Jalan Sekolah dan Bangunan MARA manakala Sungai Besar (Gerai MDSB Jalan Panchang Bedena, Medan Selera Jalan Bunga Matahari dan Gerai MDSB Dataran Tonggak 10).

Sementara pemeriksaan di Sabak meliputi Gerai MDSB Jalan Tebedu, Gerai PLB Jalan Haji Mohamad dan Gerai MDSB Dataran Usahawan.

MDSB turut mengingatkan peniaga dan pemegang lesen supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikompaun.

 


Pengarang :