Tinggalan dua blok Highland Towers yang terletak di Ulu Kelang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MPAJ pantau 356 cerun, elak tragedi Highland Towers berulang

SHAH ALAM, 11 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau rapi semua 356 cerun bawah pentadbirannya bagi memastikan tragedi Highland Towers tidak berulang.

Menerusi kenyataan kepada Selangorkini, MPAJ memaklumkan sudah melaksana kerja awalan pengurusan cerun yang baik sepanjang tahun ini terhadap 61 cerun berisiko tinggi dan sederhana.

“Kerja awalan melibatkan pembersihan kawasan bercerun bagi mengurangkan beban pada cerun dan mengelakkan kerosakan pada sistem saliran cerun.

“Selain itu, kerja-kerja pembaikan longkang cerun juga telah dilaksanakan bagi memastikan sistem saliran cerun berfungsi dengan baik untuk mengelakkan resapan air berlaku pada permukaan cerun yang boleh melemahkan struktur tanah bercerun,” katanya.

MPAJ turut memasang sistem amaran awal di beberapa cerun berisiko bagi mengenalpasti pergerakan tanah selain melaksana kerja penstabilan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh.

Jelas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, tindakan penstabilan cerun akan dibuat segera sekiranya sistem amaran awal menunjukkan terdapat data berlakunya pergerakan tanah bercerun.

“Isu keselamatan kawasan bercerun sentiasa menjadi perhatian utama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan melalui bantuan Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin serta meletakkan faktor keselamatan sebagai agenda utama di kawasan bercerun,” katanya.

Hari ini, genap 30 tahun tragedi runtuhan kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang.

Insiden terburuk dalam sejarah negara itu mengorbankan 48 nyawa termasuk anak lelaki bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam serta penghuni warga asing.


Pengarang :