Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Dato’ Mohd Yazid Sairi (kiri) ketika Mesyuarat Majlis MPS kali ke-12 di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong, Gombak pada 21 Disember 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS kutip RM100.35 juta cukai taksiran semasa setakat 30 November

GOMBAK, 21 DIS: Sejumlah RM100.35 juta cukai taksiran semasa dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) setakat 30 November, maklum yang dipertuanya.

Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata jumlah itu merangkumi 87.43 peratus daripada jumlah sasaran iaitu RM114.78 juta untuk 2023.

“Manakala kutipan tunggakan cukai taksiran pula, sebanyak RM8.96 juta atau 74.67 peratus berjaya diperoleh daripada jumlah keseluruhan tunggakan sebanyak RM12 juta,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat MPS di sini, hari ini, Mohd Yazid berkata kempen bayaran cukai taksiran secara dalam talian menerusi aplikasi MyMPS, Lazada, Shopee dan Cepat diteruskan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan MPS mengeluarkan 31,303 waran kepada pemilik harta yang gagal membayar cukai taksiran sehingga 30 November lepas.

Menurut beliau, harta pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 ke atas bakal disita selepas tujuh hari waran diserahkan kecuali jika bayaran penuh dibuat.

“MPS laksana tindakan waran tahanan sebanyak RM100 setelah notis caj lewat pada 15 Oktober lalu.

“Setakat ini 13,340 waran telah diserahkan kepada pemilik sementara bakinya akan dibuat sebelum 31 Disember ini,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan tindakan sitaan.

Beliau menambah MPS sudah mengeluarkan bil awal cukai taksiran bagi penggal Januari 2024 dan orang ramai yang membuat pembayaran terawal akan menerima cenderahati payung.


Pengarang :