Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas. Foto Facebook Preakas Sampunathan
ADNSELANGOR

Naik taraf sistem saliran Taman Sri Muda capai 87 peratus, jangka siap Januari

SHAH ALAM, 11 DIS: Kerja menaik taraf sistem saliran di Taman Sri Muda di sini mencapai kemajuan 87 peratus dengan jangkaan selesai sepenuhnya akhir Januari depan.

Wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas berkata projek bernilai RM6.8 juta yang dimulakan sejak awal Julai 2021 bagi mengatasi masalah banjir di kawasan terbabit.

“Tempoh pelaksanaan asal projek ini selama 24 bulan bermula 1 Julai 2021 hingga 1 Julai 2023. Bagaimanapun, projek ini mendapat lanjutan masa sehingga 24 Januari atas beberapa kekangan.

Pembinaan longkang baharu di Kampung Lancong Jaya, Kota Kemuning bagi menangani isu banjir pada 20 November 2023. Foto Facebook Preakas Sampunathan

“Kekangan itu termasuk arahan perintah kawalan pergerakan diperketatkan selain banjir besar pada Disember 2021 yang menyebabkan kerosakan tapak bina serta kelewatan kelulusan permohonan bekalan kuasa ‘compact sub’ Tenaga Nasional Berhad,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah skop utama projek terbabit melibatkan perlindungan tebing, pemasangan pam skrew, pembinaan kuarters serta ‘compact sub’ dan komponen elektrikal.

Dalam pada itu, Preakas memaklumkan selain Jabatan Pengairan dan Saliran, beberapa projek bagi menangani isu sama dilaksana Majlis Bandaraya Shah Alam.

Projek itu, jelasnya, pembinaan rumah pam di Persiaran Aman yang kini mencapai kemajuan 95 peratus, manakala di Jalan Saksama 25/39 dan Jalan Khidmat 25/35 siap 80 peratus.

“Kerja lain dalam fasa pelaksanaan ialah naik taraf longkang pembentung dan parit erong antaranya di Jalan Gemilang 25/1 dan Jalan Abadi 25/58,” katanya.


Pengarang :