EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah (tengah) bercakap kepada Media Selangor selepas solat hajat dan bacaan Yasin untuk Palestin di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya pada 30 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri bakal naik taraf 14 masjid mulai Januari depan

PETALING JAYA, 1 DIS: Kerajaan Negeri bercadang menaik taraf 14 buah masjid di sembilan daerah menerusi program Kembara Masjid Selangor bermula Januari tahun depan.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata usaha itu dibuat melalui peruntukan RM700,000 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan 2024.

Beliau menjelaskan pembaikan infrastruktur tertumpu di rumah ibadat yang menjadi tempat persinggahan utama penduduk dan musafir antaranya kawasan Sabak Bernam.

“Kita akan turun ke bawah dan perhatikan keadaan infrastruktur terutama tandas dan bumbung masjid yang bocor untuk memastikan keselesaan jemaah,” katanya.

Beliau ditemui selepas program solat hajat dan bacaan Yasin untuk Palestin anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Masjid Ara Damansara di sini, malam tadi.

Seramai 500 penduduk termasuk 20 pelajar Akademi Tahfiz Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menghadiri solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.

 


Pengarang :