Pengunjung membeli barangan keperluan asas di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di pekarangan Surau Nurul Ikhlas, Seri Kembangan pada 18 Disember 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pembeli puas hati, kualiti barangan terjamin meskipun dijual murah

SERDANG, 18 DIS: Kualiti barangan setanding pasar raya meskipun dijual murah berbanding harga pasaran menyebabkan orang ramai sentiasa ternanti-nanti program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Kakitangan swasta, Leezam Kamaruzaman, 48, berkata beliau tidak kisah perlu menunggu giliran nombor bagi membeli barangan di program itu kerana kualiti barangannya terjamin dan tidak pernah mengecewakan.

Pengunjung jualan murah Leezam Kamaruzaman. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Barangan basah yang dijual di sini segar manakala beras pula sangat berkualiti. Bukan hanya saya yang puji, rata-rata pembeli sangat berpuas hati dengan kualiti berasnya.

“Saya sudah lama tidak beli barangan asas yang dijual di sini iaitu beras, telur, minyak, ayam, daging dan ikan di pasar raya kerana kualiti barangan di sini setanding pasar raya,” katanya ketika ditemui di program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di perkarangan Surau Nurul Ikhlas, di sini hari ini.

Bagi Nur Farhana Mohamed Yusoff, 37, niat hanya mahu mencuba barangan di sini pada kunjungan kali pertama sebelum ini ternyata berbaloi dan beliau datang buat kali kedua hari ini.

“Saya terkejut, barangan ini tiada bezanya dengan kualiti di pasar raya. Tetapi harganya jauh lebih murah. Terima kasih Kerajaan Negeri dan diharap program ini diteruskan tahun depan,” katanya.

Pengunjung jualan murah Nur Farhana Mohamed Yusoff. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Sementara itu Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi berkata bagi memastikan pengundi Selangor khususnya DUN Seri Serdang tidak terlepas peluang mendapat manfaat program itu, sistem nombor giliran yang dibuat mengutamakan pengundi kawasan berkenaan.

“Kita tahu dalam program JER ini ada sebilangan rakyat dari kawasan lain datang (memang tidak salah) tetapi akhirnya penduduk atau pengundi tempatan tidak dapat beli. Selain itu ada juga pengundi luar.

“Setelah kita kenal pasti permasalahan ini, hari ini kita pastikan nombor giliran diberi kepada pengundi (DUN Seri Serdang dahulu). Kalau ada lebih baru kita buka kepada bukan pengundi atau pengundi luar dari kawasan Seri Serdang,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Pengunjung membeli barangan keperluan asas di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di pekarangan Surau Nurul Ikhlas, Seri Kembangan pada 18 Disember 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pengarang :