Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan pada harga rendah menerusi kehadiran julung kali trak Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Jasmin, Bukit Jelutong pada 16 Disember 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Bukit Jelutong tidak lepas peluang beli barangan dapur murah

SHAH ALAM, 16 DIS: Lebih 200 penduduk Bukit Jelutong tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Jasmin di sini, hari ini.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Tengku Ahmad Tengku Kasim berkata pihaknya menerima permintaan daripada penduduk yang mahu program itu diadakan di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Tengku Ahmad Tengku Kasim ketika ditemui Selangorkini pada 16 Disember 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI.

“Ini kali pertama program JER diadakan di Zon 19, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik. Sebelum ini kita jarang dapat permintaan daripada penduduk, tetapi baru-baru ini ada permintaan dan kita usahakan membawa trak ke sini.

“Kita sasarkan kehadiran 200 pengunjung. Setakat ini alhamdulillah penduduk tidak putus-putus datang. Kalau dapat sambutan, kita akan anjurkan sekali lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, penyelia unit jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata sebanyak 500 ayam, 300 kampit beras dan 300 papan telur ditawarkan kepada pembeli.

Menurut Muhammad Farid Mustafa, pihaknya turut menyedia jualan produk makanan kering bawah jenama Ehsan seperti bihun, sardin dan tepung.

“Program jualan murah ini turut disertai Selangor Fruits Valley (SFV) yang membawa pelbagai sayuran dan tanaman pada harga berpatutan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Ia dianjurkan di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain menjalin kerjasama dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.


Pengarang :