Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku lelongan dengan harga murah sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerbit manfaat pesta buku negeri promosi karya, jenama sendiri

SHAH ALAM, 3 DIS: Syarikat penerbitan yang baru bertapak di negara ini memanfaatkan penyertaan dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 untuk mempromosi karya dan jenama masing-masing.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif Tentang Kita berkata syarikatnya yang baru setahun ditubuh mengambil kesempatan itu untuk memasarkan lima judul buku berunsur emosi, psikologi, spiritual serta ketenangan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tentang Kita, Hafizul Faiz

Hafizul Faiz menjelaskan 45,000 buku berjudul ‘Pergi’ terjual dalam tempoh setahun manakala ‘Tentang Dewasa’ (30,000 naskhah) dan ‘Yang Tertulis Pergi’ (10,000 naskhah).

“Buku-buku itu antara yang laris, tetapi kita mahu promosikan lagi di SIBF supaya lebih ramai tahu isi kandungannya. Kita akan rasa seronok apabila orang baca dan faham apa yang disampaikan dalam buku tersebut.

“Alhamdulillah, setakat hari ini ramai sangat orang datang ke reruai Tentang Kita dan mencari buku yang kami terbitkan kerana buku kami menggabungkan elemen berkaitan,” katanya kepada Selangorkini.

Penerbit yang baru tiga tahun dalam industri, Hijanah turut mengambil bahagian pada SIBF anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi mengetengahkan lima novel termasuk buku kepada orang awam.

Pegawai Operasi  Hijanah Muhammad Azad Zulkifli

Pegawai Operasinya Muhammad Azad Zulkifli berkata karya tulisan Aisyah Hijanah mencuri tumpuan pengunjung terutama dalam kalangan anak muda perempuan.

“Novel diterbitkan Hijanah menerapkan elemen ketenangan dan motivasi yang pastinya menjadi kegemaran anak muda masa kini. Naskhah dibawa termasuk ‘Letters From Heart’, ‘Biarku Lindung Mendungmu’ dan ‘Selama Nafasku Berhembus’ serta buku ‘Planner 2024’.

“Jualan laris tetapi paling penting memudahkan golongan terbabit mencari buku ini,” katanya menambah sesi temu dan sapa (meet and greet) bersama Aisyah Hijanah turut diadakan di reruai.

Kedua-dua reruai syarikat penerbitan itu berada di ‘marquee tent’ aras bawah bahagian luar Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Berlangsung dari 1 hingga 10 Disember, SIBF 2023 susulan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Edisi kedua pesta bertaraf antarabangsa menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.


Pengarang :