AGENDAJENAYAH

Penganggur didakwa atas tuduhan membunuh ibu bapanya

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapanya yang mayat mereka ditemukan terbaring berlumuran darah di lantai rumah dipercayai akibat ditikam berkali-kali.

Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 42, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6, Brickfields di sini, pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA


Pengarang :