Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penganjuran Pesta Buku Selangor antara terbaik di rantau ini, ruang kongsi idea

SHAH ALAM, 1 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 bukan sekadar platform penjualan buku tetapi menjadi ruang untuk berkongsi idea, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara antarabangsa itu yang memasuki tahun kedua penganjuran mengumpul pelbagai karya dan sumber idea sekali gus dianggap antara yang terbaik di Asia Tenggara

“Pengalaman melawat penganjuran pesta buku di pelbagai rantau seperti di Jakarta, saya yakin SIBF menjadi program pengumpulan buku dan perkongsian idea terbaik di Asia Tenggara.

“Pesta buku kali ini menyediakan 354 reruai untuk 255 pempamer terdiri penerbit, penulis dan ilustrator bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari negara lain antaranya Indonesia, China dan Arab Saudi,” katanya  sempena Majlis Perasmian SIBF 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

SIBF 2023 dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat reruai ketika Majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023.Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Amirudin berkata SIBF bukan mempamer buku semata-mata sebaliknya mewujudkan ruang yang kondusif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan produk.

“Malah, pesta buku ini juga menjadi platform pelancongan yang mampu meningkatkan industri pelancongan khususnya kepada Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar turut menjunjung kasih kepada Baginda yang menyumbang lebih 2,600 buku kepada Pustaka Raja Tun Uda dan mengayakan budaya membaca di negeri ini.

“Sultan Selangor perkenan menyumbang lebih 2,600 buku kepada Pustaka Raja Tun Uda buat sekalian rakyat untuk tercerahkan fikiran dan membaca karya-karya dimiliki serta dipunyai Tuanku,” katanya.

SIBF 2023 berlangsung mulai hari ini hingga 10 Disember di Pusat Konvensyen MBSA, dari 9 pagi hingga 9 malam.

Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad melawat reruai ketika Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :