Peserta menghadiri sesi town hall bersama pemilik serta pengusaha kilang tanpa kebenaran (KTK) di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Hotel Premiere, Bukit Tinggi, Klang pada 15 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pengusaha kilang tanpa kebenaran digesa laksana pemutihan

KLANG, 15 DIS: Kerajaan Selangor menggesa pengusaha kilang tanpa kebenaran (KTK) di negeri ini tampil melaksanakan proses pemutihan bagi mengelak tindakan rampasan tanah.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata gesaan itu bertujuan mendidik pengusaha supaya mengikut undang-undang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi, kita akan kejar yang tidak ikuti proses pemutihan ini. Kita akui ada pengusaha degil tetapi Kerajaan Negeri masih mengambil pendekatan berhemah dan holistik demi kepentingan semua kerana mereka juga penyumbang ekonomi.

“Kita ambil tindakan situasi menang menang sekali gus mendidik pengusaha supaya mengikuti undang-undang. Bagaimanapun, jika masih berdegil kita akan panggil pihak majlis untuk mengeluarkan borang 7A dibawah Kanun Tanah iaitu pelucutan hak milik tanah,” katanya.

Beliau berkata selepas ditemui pada sesi Town Hall bersama pengusaha kilang tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Klang yang dihadiri lebih 400 individu di Hotel Premiere di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya tanah dirampas, pemilik perlu membayar premium tanah yang jumlahnya ditetapkan Kerajaan Negeri berikutan status bertukar kaveat iaitu dimiliki kerajaan.

Pada masa sama, menurut Suee Lim Kerajaan Negeri akan merangka satu dasar baharu tahun hadapan bagi memudahkan urusan pendaftaran kilang.

“Selain meningkatkan penguatkuasaan, Kerajaan Negeri juga mahu membantu memudahkan pengusaha kilang dalam pelbagai aspek termasuk bayaran.

“Kita akan beri bantuan terbaik kepada pengusaha tetapi dengan syarat mereka kena datang, kalau tidak akan berdepan dengan tindakan selanjutnya,” katanya.


Pengarang :