Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menawar pertolongan bagi membersihkan maklumat diri dari aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Peniaga, pengurus syarikat rugi hampir RM2.5 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

JOHOR BAHRU, 11 DIS: Seorang peniaga dan seorang pengurus syarikat kerugian hampir RM2.5 juta akibat diperdaya penipuan pelaburan tidak wujud dan penyamaran di dalam talian yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata kes pertama melibatkan lelaki yang bekerja sebagai seorang pengurus sebuah syarikat swasta, kerugian RM1.06 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud secara dalam talian.

Beliau berkata lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya terlihat iklan pelaburan Yomaex ‘Crypto Currency’ yang menjanjikan pulangan lumayan diiklankan menerusi laman Facebook.

Beliau berkata mangsa kemudiannya menekan pautan yang diberikan dan berurusan dengan seorang individu melalui WhatsApp serta diminta memuat turun aplikasi berhubung pelaburan terbabit, yang akan memaparkan jumlah keuntungan dan pelaburan seperti dijanjikan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah melakukan pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan berjumlah RM1.06 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti dipaparkan dalam aplikasi itu, sebaliknya diarahkan membuat bayaran tambahan.

Dia kemudiannya mengesyaki telah ditipu selepas tidak menerima keuntungan, malah tidak boleh lagi mengakses aplikasi terbabit, katanya.

Dalam kes berlainan, Kumar berkata seorang wanita yang bekerja sendiri, kerugian lebih RM1.4 juta selepas diperdaya individu menyamar daripada sebuah syarikat penghantaran yang mendakwa kononnya mangsa mempunyai bungkusan mengandungi bahan terlarang.

Beliau berkata wanita berusia 45 tahun itu kemudiannya telah disambungkan kepada dua individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa.

Kumar berkata mereka juga menawarkan untuk membantu mangsa dengan syarat mengikut segala arahan yang diberikan.

“Oleh kerana takut ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang, mangsa telah memasukkan wang ke beberapa akaun bank seperti diarahkan berjumlah RM1.40 juta, sebelum menyedari ditipu kerana gagal menghubungi mereka setelah bayaran dibuat,” kata beliau.

Kedua-dua mangsa membuat laporan pada Sabtu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :