Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pentadbiran negeri ikrar perhebat Selangor, lindungi kebajikan rakyat

KLANG,11 DIS: Pentadbiran Kerajaan Negeri berikrar memperkukuh keazaman untuk mentadbir dengan lebih baik demi memperhebat Selangor serta melindungi kebajikan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan ekonomi negeri terus bertambah baik apabila sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5 peratus, melebihi satu perempat ekonomi Malaysia.

“Sehingga 6 Disember lalu, Selangor berjaya mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.571 bilion iaitu 128 peratus daripada sasaran RM2 bilion. Ini adalah bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memacu ekonomi dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat.

“Pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat terhadap sikap dan kebertanggungjawaban Kerajaan Negeri dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin memaklumkan pelbagai usaha dilakukan pentadbiran negeri antaranya pelaksanaan projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang dibangunkan dalam kawasan seluas 40,000 ekar.

Katanya, projek yang dirancang itu akan pemudah cara pembangunan kawasan baharu selain berhasrat untuk mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS seumpama di Shah Alam dan Bangi.

“Kerajaan Negeri juga berhasrat mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi empat bandar raya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Ini bermatlamat untuk menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran empat bandar berkenaan bagi memudah cara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri mencipta pentadbiran Lembah Klang Raya ini akan memacu pertumbuhan ekonomi Selangor dan meletakkan Selangor sebagai negeri ulung di benua Asia Tenggara sebaris dengan wilayah terkemuka,” katanya.

Jelas Amirudin, Kerajaan Negeri juga berikhtiar merencana dan meningkatkan peluang bagi generasi muda di Selangor untuk diberikan pekerjaan yang boleh menawarkan mereka gaji yang lebih tinggi dan berpatutan.

“Kerajaan Negeri akan membangunkan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor bagi merealisasikan hasrat 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Patik bersama pasukan penjawat awam akan memulakan proses kajian separuh penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang akan menggariskan beberapa inisiatif pembugaran ekonomi seperti pembangunan Dron Selangor dan Pusat Kecerdasan Buatan Selangor.

“Kerajaan Negeri juga mengukuhkan sistem pengangkutan awam dengan membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor dari Bandar Diraja Klang ke Kuala Selangor dan kemudiannya ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam bagi membolehkan rakyat yang menetap di kawasan Pantai Barat dapat mengakses kawasan perekonomian maju di Lembah Klang dan Kuala Lumpur,” katanya.


Pengarang :