Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat reruai pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023.Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penulis, penerbit luar negara sifatkan pesta buku Selangor menarik, sumber inspirasi

SHAH ALAM, 2 DIS: Penulis dan penerbit luar negara yang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 menyifatkan penganjurannya mengeratkan silaturahim bukan saja sesama mereka tetapi juga antara negara.

Penulis buku dari Indonesia, Asma Nadia berkata beliau teruja kerana penyertaan di SIBF 2023 adalah kali pertama.

“Sebelum ini saya sertai pesta buku Kuala Lumpur dan ini kali pertama saya ikuti SIBF 2023, memang sangat teruja.

Penulis buku Indonesia Asma Nadia. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya juga tidak sabar untuk bertemu dengan pembaca dalam sesi yang disediakan khas. SIBF sangat luar biasa dan harap diteruskan, menjadi lebih besar selain inspirasi kepada negara lain untuk anjurkan pesta buku seperti ini,” katanya ditemui Selangorkini.

Sementara itu Pengarah Urusan Media Inspirasi Nusantara Sdn Bhd, Nabieh Rahmat berkata beliau mengumpulkan penerbit dan penulis buku dari Indonesia berikutan terdapat permintaan daripada pembaca di Malaysia.

“Alhamdulillah, selain penerbit, penulis buku juga ada dan mereka gembira untuk hadir ke SIBF 2023 bertemu pembaca di Malaysia.

Pengarah Urusan Media Inspirasi Nusantara Sdn Bhd Nabieh Rahmat. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pengunjung boleh datang ke reruai untuk mendapatkan buku karya Indonesia menarik seperti Tentang Kamu karya Tere Liye dan Lost in Ningxia ditulis Asma Nadia,” katanya.

SIBS 2023 berlangsung dari 1 hingga 10 Disember ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Acara melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Macedonia Utara, Korea Selatan dan Mesir.

Pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir 5 juta pengunjung.


Pengarang :