DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan hadir Hari Keputeraan ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permaisuri Agong dahului senarai 97 penerima darjah kebesaran Selangor

KLANG, 11 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengetuai senarai 97 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-78 Sultan Selangor hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor (D.K 1) kepada Seri Paduka dalam istiadat khas di Istana Alam Shah pada Khamis.

Dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj.

Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Dato’ Yeoh Seok Hong.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia pula diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Pakar Runding Urologi Pusat Perubatan Subang Jaya Prof Dato’ Dr Tan Hui Meng.

Sembilan penerima dianugerah Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim dan Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan.

Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ diberi kepada 13 individu antaranya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Dr Yusri Zakariah dan Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris.

Seramai 15 penerima lagi dianugerah Darjah Setia Mahkota Selangor (S.M.S) antaranya Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri.

Manakala 13 individu dikurniakan Darjah Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) antaranya Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada Pengarang Kumpulan Media Selangor Sdn Bhd Wan Muhammad Paris Wan Omar sempena Hari Keputeraan ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) diberi kepada 15 penerima antaranya Ketua Jabatan Operasi KD PELANDOK Komander Mohd Zulkiflee Markam dan Pengarang Kumpulan Media Selangor Sdn Bhd Wan Muhammad Paris Wan Omar.

Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) diberi kepada 16 penerima antaranya Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana@Azlan Musa dan Pengurus Besar Sektor Kewangan dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Noraini Mohamad Ramlan.

Manakala, dua penerima dikurniakan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S) iaitu jurulatih gimrama Majlis Sukan Negeri Shak Yuki dan pemain badminton beregu wanita negara M Thinaah.

Bagi Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) pula diberi kepada tujuh individu antaranya Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Dr Azlina Jaapar dan Guru Besar Sekolah Rendah Agama Dato’ Abu Bakar Baginda Rafidah Toraji.

 


Pengarang :