Ribuan orang ramai mengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesta Buku Antarabangsa Selangor meriah, ribuan pengunjung penuhi ruang pameran

SHAH ALAM, 2 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang memenuhi ruang pameran di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Pengunjung Nur Aliah Nabihah Anwar, 22, berkata dia datang bersama dua kawan sekampusnya bagi mendapatkan buku tulisan Mustaqim Jiwa yang dikenali menerusi Instagram.

Nur Aliah Nabihah Anwar, 22, bercakap kepada Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya banyak membaca kata-kata klasik yang sering dikongsikan penulis di Instagram, tetapi kali ini saya mahu mencari dan mendalami sendiri buku beliau.

“Saya gemar kata-kata yang ditulis Mustaqim Jiwa kerana menyentuh jiwa, malah menyuntik semangat selain turut diselit kata-kata cinta,” kata penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam Universiti Selangor (Unisel).

Sementara itu, Nur Azlene Zainal Abidin, 36, berkata SIBF menyediakan pelbagai bahan rujukan dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa, sekali gus memudahkan tugasnya sebagai guru Tadika.

Nur Azlene Zainal Abidin, 36, bercakap kepada Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini kali kedua saya datang ke pesta buku anjuran Kerajaan Selangor dan benda wajib saya cari lembaran kerja dan buku aktiviti untuk kegunaan anak murid saya.

“Di sini banyak pilihan boleh dibuat dan harga pula jauh lebih murah berbanding kebiasaan. Jadi amat sesuai untuk guru di luar sana cari bahan pembelajaran anak didik mereka,” katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat sebagai guru di sebuah Tadika di Kuala Lumpur.

Bagi Nur Alisya Suhaili, 14, cuti hujung minggu dimanfaatkan dengan mengunjungi SIBF bagi bertemu penulis novel kegemarannya iaitu NSSignature yang mengeluarkan novel berjudul Fahrin Mikael: Love and Addiction.

Nur Alisya Suhaili, 14, bercakap kepada Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Batu 14, karya itu yang mendorong minatnya membaca novel sejak akhir tahun lepas.

“Saya kenal penulis ini melalui aplikasi Wattpad dan sebaik tahu beliau ada di SIBF, saya ajak kawan-kawan datang untuk mendapatkan novel tersebut termasuk autograf penulis.

“Saya memang suka baca novel khususnya yang bergenre percintaan dan keluarga bagi mengisi masa lapang,” kata anak ketiga daripada lima beradik.

Orang ramai hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berlangsung dari semalam hingga 10 Disember, SIBF 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tahun lalu, SIBF mendapat penyertaan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Korea, Mesir, Indonesia, Singapura serta China.

Selain itu, acara merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung manakala nilai jualan keseluruhan diperoleh lebih RM5 juta.

 

 


Pengarang :