Anggota Bomba dan Penyelamat menyiram kanak-kanak pada program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pistol air, berendam dalam kolam renang kurangkan gemuruh peserta berkhatan

HULU LANGAT, 24 DIS: Ibu bapa kanak-kanak yang menyertai program Grand Sunathon Parlimen Hulu Langat 2023 hari ini mengambil pelbagai inisiatif bagi mengurangkan gemuruh anak masing-masing untuk melalui prosedur berkhatan.

Amir Adib, 33, mempunyai cara tersendiri membeli pistol air mainan untuk anaknya, Farish Adam Adrian,6, bermain ketika berendam dalam kolam renang mudah alih disediakan penganjur untuk peserta.

“Dua tiga hari lalu anak cakap dia takut, jadi saya gunakan cara ini untuk kurangkan gemuruhnya dan alih perhatiannya. Bila dia bermain pistol air bersama dua sepupu yang turut sama bersunat dia nampak lebih tenang.

Amir Adib, 33. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada pihak yang terlibat menganjurkan program ini kerana ia membantu mengurangkan beban ibu bapa terlibat. Melalui program ini kami hanya perlu membayar RM50 untuk prosedur khatan yang mana jika dibuat di klinik atau hospital luar mungkin mencecah RM150 hingga RM200,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu Mohd Nor Hazrie Mohd Noor, 37, berkata beliau menunjukkan video dan proses khatan kepada dua anaknya Muhammad Adam Rayqal, 10, dan
Muhammad Aaqib Rayfal, 8 sebelum memulakan prosedur hari ini.

Mohd Nor Hazrie Mohd Noor, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Mereka takut sebab ingat pakai pisau, tapi sekarang sudah pakai laser sebenarnya. Bila saya terangkan dan tunjukkan kepada mereka barulah mereka faham.

“Saya bersyukur dapat tahu mengenai program ini melalui Facebook. Memang sudah rancang untuk sunat anak tahun ini dan rezeki dapat sertai sekurang-kurangnya boleh kurangkan kos prosedur,” katanya.

Seramai 110 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun sekitar Hulu Langat menyertai Program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, di sini hari ini.

Kanak-kanak mandi sebelum dikhatankan pada program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Peserta Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat selesai dikhatankan di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :