SHAH ALAM, 13 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbangkan RM30,000 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjayakan program ‘Shah Alam Trees For Life’.
Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata MBSA membelanjakan dana itu untuk menanam 2,500 batang pokok pelbagai spesies antaranya jasmin, kelat paya dan bonsai di sekitar Taman Tasik Shah Alam, di sini.
“Ini merupakan program ‘Shah Alam Trees For Life’ kedua kerjasama antara PKNS dan MBSA sekali gus membuktikan komitmen erat kedua-dua pihak dalam menjaga alam sekitar.
“Inisiatif ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat kita dalam menyokong agenda negara untuk menggalakkan pemuliharaan alam semulajadi seiring dengan PKNS sebagai sebuah organisasi memperjuang kemampanan,” kata Dato’ Mahmud Abbas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Taman Tasik Shah Alam di sini hari ini.
Program berkenaan disempurnakan Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/PAL7573-500x303.jpg.webp)
Mahmud berkata sumbangan sama akan diperluas kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa akan datang bagi melestarikan alam sekitar.
“Namun, tumpuan tidak hanya diberi kepada program penanaman pokok sahaja sebaliknya PKNS juga akan berusaha membina lebih banyak pembangunan berkonsepkan bahan rendah karbon,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/PAL7619-500x327.jpg.webp)