Orang ramai memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP tidak dilaksana, kerajaan siap siaga hadapi peningkatan kes

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun kes Covid-19 menunjukkan peningkatan ketika ini, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksana lima strategi di bawah Pelan Pengurusan Covid-19 untuk menghadapi pandemik tersebut.

“Ada bertanya melalui ciapan di laman X, kita jelaskan tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP.

“Jadi, bagi hadapi lonjakan kes, KKM menetapkan lima strategi kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan kes Covid-19 seperti pengesanan awal melalui sistem amaran awal,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Beliau berkata lima strategi itu merangkumi pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 serta pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (periksa, lapor, asing, maklum, rawat).

“Strategi ketiga ialah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kesihatan terutamanya untuk
melindungi golongan berisiko tinggi.

“Strategi keempat ialah memperkasakan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan manakala strategi kelima ialah pendigitalan sistem kesihatan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

 


Pengarang :