Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (dua, kanan) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Epicon Berhad Ahmed Azhar Abdullah (dua, kiri) menunjukkan dokumen perjanjian konsortium yang dimeterai bagi pembangunan Rumah Idaman di mukim Rawang, Gombak pada 15 Disember 2023. Foto Facebook PNSB
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PNSB bangunkan 2,252 unit Rumah Idaman di mukim Rawang tahun depan

SHAH ALAM, 19 DIS: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) bakal membangunkan 2,252 unit Rumah Idaman di mukim Rawang, Gombak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata projek bermula suku kedua 2024 bertepatan aspirasi Kerajaan Negeri untuk membangunkan 200,000 unit rumah mampu milik.

Dijangka mengambil tempoh antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan, beliau berkata pembinaan dilaksana dengan kerjasama syarikat operator terbesar pengangkutan bas awam Epicon Berhad.

“Daripada jumlah tersebut, 88 unit kontra untuk Kerajaan Negeri. Bertepatan aspirasi Tawaran Kita Selangor, pembangunannya juga menepati spesifikasi Kediaman Kita Selangor,” katanya.

Perjanjian konsortium antara kedua-dua pihak dimeterai pada 15 Disember dengan Ahmad Shahrir mewakili PNSB manakala Epicon diwakili Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya Ahmed Azhar Abdullah.

Dalam pada itu, Ahmad Shahrir menambah rakyat negeri ini yang memenuhi kriteria Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) layak memohon rumah berkenaan dengan merujuk laman sesawang https://lphs.gov.my.

Pembinaan 200,000 unit rumah berharga RM250,000 ke bawah antara digariskan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor termasuk pembiayaan kewangan dengan institusi perbankan.

Awal Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri membina 171,000 rumah sepanjang lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan sejak 2018.

Beliau menjelaskan usaha berkenaan turut diiktiraf Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, yang mengakui Selangor merupakan negeri tertinggi membina rumah kos rendah.

PNSB, anak syarikat Kerajaan Negeri menumpukan pembangunan hartanah sebagai perniagaan teras melalui pembinaan kediaman dan komersial serta perumahan dan perbandaran mampan.

 


Pengarang :