Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze melakukan gimik pelancaran program kitar semula dari kawasan rumah teres pada 28 November 2023. Foto Facebook KDEB Waste Management
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Projek kitar semula dari rumah teres mula di dua zon Subang Jaya

SHAH ALAM, 1 DIS: Program kitar semula sisa dari kawasan rumah teres sekitar Subang Jaya bermula hari ini membabitkan zon satu dan dua, maklum KDEB Waste Management.

Menurut pengarah urusannya, inisiatif baharu dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri Subang Jaya menumpukan kawasan SS12 hingga SS19, Wangsa Baiduri, PJS 7,9 serta 11.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata bahan yang boleh dikitar semula hanya aluminium, plastik dan kertas kering dengan penduduk perlu mengasingkannya dalam beg yang ditetapkan.

“Sisa lain seperti perabot, alat elektronik, permainan, bungkusan makanan, pakaian dan perkakas pembinaan tidak dibenarkan.Kutipan akan dibuat tiga kali seminggu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah projek itu akan diperluas ke zon lain di Subang Jaya jika fasa pertama berjaya dalam tempoh tiga bulan bagi memupuk kesedaran penduduk berhubung kepentingan kitar semula.

“Kita percaya pendekatan yang dibuat mampu meningkatkan kadar kitar semula yang ketika ini mencatat 17 peratus,” kata Ramli lagi.


Pengarang :