Kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan Israel duduk atas lantai di Hospital Nasser di Khan Yunis selatan Gaza pada 9 Disember 2023. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Rakyat Palestin bergelut dengan kelaparan, terdesak mendapatkan makanan

ISTANBUL, 31 DIS: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Sabtu mengulangi amaran bahawa orang awam di Gaza sedang bergelut dengan kelaparan dahsyat dan hampir separuh daripada penduduknya berdepan risiko kebuluran, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu hantaran di X, Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza Thomas White berkata orang ramai sedang kelaparan dan terdesak untuk mendapatkan makanan.

Menurut beliau, 40 peratus daripada populasi di Gaza berdepan risiko kebuluran.

“Lebih banyak bekalan secara kerap diperlukan. Kami memerlukan akses kemanusiaan yang selamat dan berkekalan di mana-mana, termasuk ke utara Gaza,” katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, serangan tanpa henti Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih 21,000 rakyat Palestin dan mencederakan ramai lagi penduduk.

Serangan Israel menyebabkan Gaza ‘hancur’ dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Ketua UNRWA, Phillipe Lazzrini berkata bantuan kemanusiaan yang bermakna, tanpa halangan dan tanpa syarat serta aliran komersial, masih boleh mengubah keadaan dan mencegah kebuluran daripada berlaku.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :