EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menari bersama penonton dan peserta ketika penutup Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Rentak Selangor gilap bakat anak muda, martabat warisan seni muzik

PETALING JAYA, 24 DIS: Penggiat seni muda menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memartabatkan warisan seni dan budaya melalui program Rentak Selangor.

Penggiat seni khususnya penyanyi melihat program itu juga menyerlahkan bakat anak muda dalam seni nyanyian selain mendidik mempelajari karya muzik yang menjadi warisan negara supaya tidak hilang ditelan zaman.

Daniela Azrid, 13

Bagi penyanyi muda Daniela Azrid, 13, Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an memberi ruang buat beliau meneroka pelbagai jenis genre muzik yang mencabar kemampuan vokalnya.

“Saya dah mula menyanyi sejak berusia 3 tahun, pada konsert kali ini kali kedua menyanyi dengan genre muzik 1970-an sebuah pengalaman baharu untuk saya.

“Saya hargai peluang diberikan penganjur untuk membuat persembahan. Program ini juga bagus untuk generasi saya mengenali kehebatan seni muzik era 70-an,” katanya.

Beliau antara yang membuat persembahan mendendangkan lagu berjudul Kemesraan nyanyian Halil Chik melalui Segmen Bakat Baru pada Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Seorang lagi bakat muda, Nurul Hidayah R.R Jali, 17, beliau melihat konsert Rentak Selangor merupakan peluang terbaik buatnya untuk mengetengahkan bakat nyanyian dalam genre muzik 70-an.

Nurul Hidayah R.R. Jali, 17

“Usaha Kerajaan Negeri ini juga perlu dipuji kerana inisiatif baik untuk memastikan identiti genre muzik 70-an tidak tenggelam pada zaman moden ini,” katanya.

Sementara itu, penyanyi era 1970-an Datin Effa Rizan berpandangan konsert Rentak Selangor anjuran Kerajaan Negeri memberi penghormatan terhadap dedikasi dan kreativiti artis dahulu.

“Usaha baik Kerajaan Negeri anjur Konsert Rentak Selangor, penonton dapat rasai keindahan melodi dan lirik yang segar lagu 1970-an. Saya harap diteruskan lagi di masa hadapan,” katanya.


Pengarang :