Poster Pesta Rentak Selangor yang akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 22 dan 23 Disember 2023. Foto Facebook Rentak Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rentak Selangor ketengah warisan, imbau budaya lampau, anjur pertandingan kostum 70-an 

SHAH ALAM, 19 DIS: Pengunjung Pesta Rentak Selangor berpeluang memenangi hadiah keseluruhan RM2,500 menerusi pertandingan kostum 70-an terbaik, kata EXCO kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata selama dua hari bermula Jumaat ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pelbagai aktiviti menarik disajikan termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan dan jualan dari 10 pagi hingga 10 malam.

Dengan tema pakaian retro 70-an Borhan berkata acara kemuncak pesta itu adalah Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu 70-an yang bermula 8 malam Sabtu ini dan dijangka turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Konsert berkenaan merangkumi empat segmen iaitu instrumental, bakat baharu, kugiran dan penampilan istimewa artis 70-an seperti Hail Amir, A Razak Ismail, Junainah M Amin, Datin Effa Rizan dan J Mizan.

“Pemilihan pemenang kostum 70-an terbaik akan dibuat menerusi tangkap layar sepanjang program berlangsung pada Sabtu. Pakaian terbaik lelaki dan wanita masing-masing bakal menerima RM1,000 dan RM500 (kanak-kanak 12 tahun ke bawah),” katanya.

Menerusi program temubual Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini, beliau menjemput semua pihak hadir memeriahkan pesta itu.

“Bawalah anak-anak dan keluarga ke program ini supaya anak-anak muda dapat didedahkan dengan budaya terdahulu.

“Selain mendedahkan anak muda dengan budaya terdahulu program ini juga bagi menghargai sumbangan artis 70-an supaya mereka dapat terus berkarya.

“Tahun ini masuk tahun kelapan penganjuran Pesta Rentak Selangor yang mengetengahkan warisan, tradisi dan kebudayaan negeri,” katanya.


Pengarang :