Penduduk Kampung Simpangan menaiki bot bagi menunaikan solat Jumaat biarpun kawasan sekitar Masjid Mukim Simpangan digenangi air ketika tinjauan di Tumpat, Kelantan pada 19 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

RHB, OCBC tawar bantuan, ringankan beban pelanggan terjejas bah

KUALA LUMPUR, 29 DIS: RHB Banking Group dan OCBC Bank (Malaysia) Bhd merupakan bank terkini yang tampil menawarkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, RHB berkata bank itu menghulurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas, iaitu individu termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui Program Bantuan Banjirnya, yang akan disediakan mulai sekarang hingga 31 Januari 2024.

Di bawah program itu, pelanggan individu yang layak boleh memohon penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan untuk gadai janji, kemudahan pinjaman/pembiayaan berjangka-i Amanah Saham Bumiputera (ASB), pinjaman peribadi/pembiayaan-i dan sewa beli-i.

Tambahan pula, RHB menawarkan pengecualian sehingga enam bulan untuk caj pembayaran lewat serta faedah/yuran pengurusan sebenar ke atas kad kredit/-i yang terjejas sehingga sejumlah RM500 mulai Februari hingga Julai 2024, serta penepian yuran penggantian kad bagi semua ATM, kad debit/-i, dan kad kredit/-i.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan, Jeffrey Ng berkata bank itu komited untuk membantu meringankan beban kewangan pelanggan semasa masa yang sukar ini.

“Pelanggan yang terjejas akibat banjir digalakkan menghubungi pusat panggilan kami atau pengurus perhubungan masing-masing bagi bantuan lanjut mengenai Program Bantuan Banjir,” katanya.

Ng berkata RHB juga akan menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk wang tunai kepada 400 keluarga di wilayah Kelantan dan Terengganu yang paling teruk dilanda, membantu mereka membina semula kehidupan selain meringankan kesusahan akibat banjir.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Banjir lawati https://www.rhbgroup.com/files/others/highlights/H20231228-1.pdf

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, OCBC Bank dan anak syarikat perbankan Islamnya OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) menggesa semua pelanggan yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan atau langkah penyusunan semula yang berpotensi yang berkaitan dengan pinjaman atau skim pembiayaan sedia ada mereka.

OCBC Bank berkata individu boleh menghubungi talian pengguna khusus bank itu di talian 03-8317 5011, manakala pelanggan PKS dan perusahaan mikro boleh menghubungi 03-8317 5200.

Talian itu dibuka Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 6 petang.

Pelanggan perbankan korporat dan komersial pula perlu menghubungi pengurus perhubungan masing-masing.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di empat negeri menurun kepada 20,036 di 82 pusat pemindahan sementara setakat 4 petang hari ini (29 Dis).

– BERNAMA


Pengarang :