Ketua Operasi Agihan lembaga Zakat Selangor Kuala Selangor Azizul Fitri Salam menyerahkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran Marni Selamat,77, pada 21 Disember 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Rumah terbakar dua hari sebelum majlis kahwin, LZS hulur bantuan ringan beban

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM,22 DIS: Sebuah keluarga yang dalam persiapan akhir majlis perkahwinan terjejas ekoran kediaman mereka terbakar menerima bantuan awal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bantuan awal RM500 diserahkan oleh Ketua Operasi Agihan LZS Kuala Selangor Azizul Fitri Salam kepada ketua keluarga berkenaan Marni Selamat,77, di Tanjong Karang, semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, baki bantuan RM4,500 bakal diserahkan kepada keluarga berkenaan selepas semua dokumen lengkap diterima.

“Kami hadir untuk menziarahi mereka dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini bagi meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, hasil zakat yang ditunaikan oleh kalian, dapat kami terus salurkan pada mereka yang memerlukan,” menurut agensi itu.

Pada 19 Disember lalu, sebuah rumah di Lorong Intan B, Kampung Parit Serong, Tanjung Karang musnah akibat kebakaran dengan kerugian dianggarkan RM160,000.

Lebih memilukan, kejadian 11 pagi itu memusnahkan keseluruhan rumah mereka dua hari sebelum majlis perkahwinan dijadual berlangsung.


Pengarang :