Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di Dataran Karnival pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor desak genjatan senjata segera demi nyawa rakyat Palestin

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Negeri mendesak gencatan senjata segera supaya pembunuhan rakyat Palestin dilakukan Israel dapat dihentikan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata desakan itu juga membolehkan agihan bantuan kemanusiaan boleh dibuat secara besar-besaran.

“Semoga Allah mengangkat doa kita semua agar saudara kita di Gaza dan Tebing Barat mendapat keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh setiap detik yang sukar pada waktu ini,” katanya di Facebook.

Orang ramai menunaikan solat Maghrib berjemaah sempena program Panggilan Intifida Doa Untuk Palestin di Dataran Karnival pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Malam tadi Amirudin bersama hampir 500 orang awam berhimpun di program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam di sini.

Dalam himpunan solidariti itu, beliau mengumumkan kesediaan pentadbiran negeri membantu pembangunan semula Palestin dengan membina perumahan serta masjid.

Katanya, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan masjid seluruh negeri untuk menyalurkan sejumlah dana.

Pada Oktober, Amirudin menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat negara itu.

Sebelum itu beliau mewakili rakyat Selangor tegas mengutuk keras kekejaman dan keganasan dilakukan rejim Israel terhadap bumi Palestin dan bersolidariti dengan semua pihak yang menegakkan keamanan serta keadilan.


Pengarang :