Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Panggilan Intifida Doa Untuk Palestin di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor hasrat bina rumah, masjid bantu Palestin bangun semula

SHAH ALAM, 31 DIS: Selangor bakal mewujudkan perumahan dan masjid bagi membantu pembinaan semula Palestin yang musnah dibedil Israel ketika ini.

Dato’ Menteri Besar berkata hasrat itu merupakan komitmen Kerajaan Negeri terhadap usaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mahu mewujudkan Bandar Malaysia selepas peperangan selesai.

“Kerajaan Negeri sedia membina keperluan anak-anak Palestin selepas negara itu mencapai keamanan nanti. Kita juga melihat kemungkinan untuk bina kelengkapan dan kemudahan lain.

“Mapim sudah membina 10 masjid di sana seperti Masjid Kampung Tunku, Surau Annur Bangi. Insya-Allah kali ini Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan masjid-masjid (di Selangor) untuk bina sebuah lagi.

“Ini hasil sumbangan Kerajaan Negeri serta sumbangan hasil kutipan yang dibuat dari masa ke masa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan gimik pelancaran kad sim khas sempena program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau bersama hampir 500 orang awam menyertai himpunan berkenaan yang juga merupakan antara acara sambutan ambang Tahun Baharu 2024.

Pada Oktober, Amirudin menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat negara itu.

Sebelum itu beliau mewakili rakyat Selangor tegas mengutuk keras kekejaman dan keganasan dilakukan rejim Israel terhadap bumi Palestin dan bersolidariti dengan semua pihak yang menegakkan keamanan serta keadilan.


Pengarang :