AGENDANASIONAL

Sembilan tan daging penyu, spesies marin terancam bernilai lebih RM5 juta dirampas

KOTA KINABALU, 4 DIS: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai spesies hidupan laut terancam bernilai lebih RM5.2 juta termasuk sembilan tan metrik daging penyu kering hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot jenis bubu ikan di kawasan laut Mangsee Reef, Kudat pada Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata daging penyu dianggar bernilai RM4.5 juta itu merupakan rampasan terbesar pihaknya melibatkan haiwan itu dan kira-kira 12,000 ekor penyu dipercayai dikorbankan bagi mendapatkan jumlah daging berkenaan.

Beliau berkata selain daging penyu, pihaknya turut merampas kulit kerang dan siput pelbagai spesies seberat dua tan metrik, balat susu (90 kilogram), kuda laut (150 kilogram), rumpai laut (80 kilogram), sirip yu (5 kilogram) dan kerapu (200 kilogram) yang telah dikeringkan.

Jauteh berkata rampasan pada 11.15 pagi itu dilakukan pasukan bertugas dalam Op Taring Gelora selepas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika cuba dihampiri untuk pemeriksaan, bot terbabit terus membelok dan memecut ke arah kawasan cetek di Mangsee Reef. Bagaimanapun selepas bot telah berhenti sepenuhnya, kelihatan empat lelaki melompat keluar dari bot dan berenang ke arah kawasan cetek untuk melarikan diri.

“Pada masa sama, terdapat sebuah bot pam menghampiri empat lelaki berkenaan dipercayai sebahagian daripada kumpulan mereka dan terus membawa mereka menuju ke perairan antarabangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Jauteh berkata hasil siasatan mempercayai kesemua individu yang melarikan diri itu bukan warga tempatan, justeru pihaknya turut percaya penyu berkenaan bukan hanya ditangkap di perairan negara tetapi juga di perairan negara jiran.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bot jenis bubu ikan itu dimiliki warga tempatan dan didaftarkan di Semporna, namun siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada pemilik itu terlibat dalam kegiatan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :