AGENDANASIONAL

SPRM giat jejak mangsa sindiket jual darjah kebesaran palsu

PUTRAJAYA, 22 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat mengesan mangsa-mangsa penipuan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang ditumpaskan awal bulan ini.

Menurut sumber, difahamkan mangsa berkenaan telah diperdaya oleh seorang lelaki yang memegang jawatan utama dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Lelaki terbabit telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini, namun agensi penguat kuasa memerlukan mangsa lain untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti tujuh mangsa sindiket itu dengan lima daripadanya telah tampil memberi keterangan.

“Pihak kami percaya masih ada beberapa mangsa yang perlu tampil untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Aiman Jamil menerusi talian 03-8870 0473 atau 017-282 0484.

Pada awal Disember ini, SPRM menahan reman enam individu termasuk dua wanita dan presiden sebuah NGO berumur antara 30-an hingga 50-an kerana disyaki terbabit dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

– BERNAMA


Pengarang :