DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) diiringi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ketika berkenan berangkat melawat bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur pada 30 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Sultan berkenan lawat menara Merdeka 118, Stadium Merdeka

SHAH ALAM, 1 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat melawat bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur semalam.

Baginda diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan disambut Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad.

“Baginda dibawa melawat ke tingkat 118 dan 116x untuk melihat sendiri perkembangan terkini pembinaan serta pemandangan sekitar ibu negara dari paras tertinggi menara berkenaan.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) diiringi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bergambar berlatarkan Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur pada 30 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Baginda amat kagum dengan reka bentuk dan kemajuan teknologi yang diaplikasi dalam pembinaan menara ini yang dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian, dan bakal menjadikannya mercutanda terbaharu Kuala Lumpur.

“Baginda berbangga dengan inisiatif PNB untuk meletakkan menara ini sebaris dengan bangunan pencakar langit di dunia dan berharap agar sistem kecemasan dan keselamatan bangunan ini juga setanding dengan prestijnya,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Sharafuddin kemudian dibawa melawat Stadium Merdeka yang sedang dibangunkan semula dan terletak di dalam kawasan menara yang mengembalikan semula nostalgia Baginda.

Baginda juga memuji usaha PNB memulihara stadium bersejarah itu yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka dan kini bakal dibuka semula untuk kegunaan rakyat sekali gus melengkapi keberadaan Menara Merdeka 118.


Pengarang :