SHAH ALAM, 4 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini berkenan mengekalkan dan melantik Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi sesi 2024 hingga 2026.
Pelantikan itu disempurnakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Mais bagi sesi 2024-2026 di Istana Bukit Kayangan di sini.
Pada istiadat itu, baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan empat anggota MAIS yang baharu iaitu Orang Besar Bergelar Tengku Seri Andika Diraja Tengku Datuk Iskandar Shah Tengku Ismail Shah Alhaj, profesor International Centre Of Education in Islamic Finance (INCEIF) Prof Dr Ashraf Md Hashim, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah dan perunding bebas dalam bidang strategi perniagaan Mohamad Izam Mohamed Yusof.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/FW1344725_SG09_04122023_SULTAN_WATIKAH-500x332.jpg.webp)
Pelantikan baharu yang diketuai Abdul Aziz itu, menjadikan jumlah keseluruhan anggota MAIS bagi sesi tersebut adalah 22 orang.
Kesemua pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.
– BERNAMA