Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat reruai ketika Majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2023.Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan Sharafuddin hargai warisan sejarah, jiwai seni budaya

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminati warisan sejarah dan budaya selain menghargai karya seni bermutu tinggi.

Memiliki koleksi kira-kira 1,000 keris dan sejumlah lukisan, Baginda kerap berangkat mengunjungi muzium dan galeri di serata tempat, baik di dalam mahupun luar negara.

Qatar antara yang dikunjungi Baginda pada Februari. Baginda menzahirkan rasa kagum terhadap koleksi sejuta naskhah buku, manuskrip lama dan peta-peta turun temurun dunia Arab yang masih elok di Perpustakaan Nasional Qatar.

Selain mengunjungi Muzium Nasional Qatar yang menyimpan artifak penubuhan awal negara itu, Baginda juga ke Muzium Kesenian Islam Qatar yang mempamer koleksi buku peradaban dan bahan kesenian Islam, kaligrafi serta tekstil, sebahagiannya berusia hampir 1,300 tahun.

Tuanku turut menyaksikan koleksi jersi dan piala sumbangan atlet tersohor dunia di Muzium Olimpik dan Sukan Qatar yang dianggap muzium sukan terbesar dunia.

Sultan Sharafuddin juga berkenan melawat pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur pada 22 Julai.

 

Baginda tertarik dengan koleksi abad ke-19 dan awal ke-20 yang belum pernah dipamer di luar Eropah mahupun Amerika. Kebanyakan lukisan memperlihat perubahan dunia Islam sejak ratusan tahun lalu khususnya hubungan antara dunia Timur dan Barat.

Sultan Selangor senantiasa menghargai bakat tempatan. Meminati karikatur Kampung Boy, Baginda meluang masa lebih sejam di Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Perak pada 7 Oktober yang menempatkan karya Seniman Diraja Datuk Lat, nama pena Mohammad Nor Mohammad Khalid.

Pernah membeli karya untuk diperaga di Istana Darul Ehsan di Putrajaya beberapa tahun lalu, Tuanku berharap Datuk Lat terus mendokumen suasana kehidupan rakyat dalam bentuk karikatur. Baginda yakin tokoh kartunis itu mampu memberi inspirasi untuk melonjak kreativiti generasi baharu.

Selain itu, Baginda yang juga penaung Persatuan Asia Diraja Bahagian Malaysia (MBRAS) menyumbang 2,658 buku meliputi biografi, pengurusan dan sejarah kepada Pustaka Raja Tun Uda sejak 2011, sebahagiannya naskhah edisi terhad. Koleksi itu ditempatkan di tingkat empat.

Cintai ilmu

Kecintaan dalam bidang keilmuan terzahir di mata rakyat ketika Tuanku merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF) di Shah Alam pada 1 Disember. Baginda meluangkan masa lebih sejam mengunjungi reruai jualan dan membeli beberapa naskhah bacaan.

Baginda juga berkenan merasmikan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam pada 21 November yang bertujuan mengumpul dana bagi memperbanyak koleksi. Setakat 20 November, RM3.3 juta dikumpul hasil sumbangan 13 syarikat korporat.

Pada 29 Oktober, Baginda berkenan bertemu sejarahwan dan tokoh pendidik tersohor United Kingdom Sir Anthony Seldon di ibu negara. Tokoh itu menyunting lebih 45 buku sejarah, politik dan pendidikan.

Naib canselor Universiti of Buckingham antara 2015 hingga 2020 menulis biografi bekas perdana menteri Britain antaranya Tony Blair, Gordon Brown, David Cameron dan Boris Johnson.

Selain itu, Sultan Selangor berkenan melawat Pinang Peranakan Mansion di Georgetown, Pulau Pinang menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari. Rumah agam itu, dibina pada 1893, sebelum dijadikan muzium, menempatkan barangan antik, artifak dan koleksi gaya hidup Peranakan atau Baba-Nyonya.

Baginda juga menyaksikan galeri yang memperaga seni kraftangan, ukiran dan pertunjukan kaedah tenunan songket di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Sarawak pada 7 November.

Turut dikunjungi, Pameran Sarawakiana ‘Tradisi Kita Khazanah Kita’ di Pustaka Negeri Sarawak, Muzium Budaya Borneo serta Galeri Objek Idaman, Perdagangan dan Seni Kraftangan serta Seni Ukiran Spiritual dan Status.

Tuanku juga berkenan melawat Kubu Margherita yang menempatkan Galeri The Brooke. Ia menyimpan sejarah awal pemerintahan kerajaan Brunei hingga dikuasai James Brooke, Rajah Putih pertama di Sarawak.


Pengarang :