Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menerima replika cek berjumlah RM56,412,369.60 daripada Menteri Agama, Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar (dua, kanan) bagi peruntukan bayaran elaun Imam-Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, dan Guru KAFA Negeri Selangor tahun 2023 di Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mei 2023. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff (kanan). Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIPILIHAN MINGGUANRENCANA

Sultan Sharafuddin setia pertahan Islam, payungi agama dari fitnah

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Islam terpelihara apabila ketua negeri tegas mempertahankannya. Bagi menzahirkan ketegasan Baginda, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menambah moto baharu istana pada 19 Ogos 2020.

“Pertahan dan setia kepada agama Islam”, enam perkataan itu diterjemah sebagai ketegasan dalam membuat keputusan berkaitan dasar agama bagi mengelak kekeliruan dan menutup bibit-bibit perpecahan umat.

Ia diguna pakai dan dihayati oleh Orang Besar Istana, Ahli Dewan Diraja, Orang Besar Daerah dan kakitangan Istana Selangor, selain itu moto sedia ada “Berkhidmat untuk rakyat dan negara”.

Lebih-lebih lagi Baginda mengetuai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) mulai awal tahun 2022 susulan keputusan bersejarah Majlis Raja-Raja ke-258 pada mesyuarat 9 dan 10 Mac 2022.

Baginda segera menegaskan keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya wewenang pengerusi jawatankuasa berkenaan, sementara menteri, timbalannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya selaku urusetia sahaja.

Ketika julung-julung kali mempengerusikan mesyuarat MKI pada 6 Mac lalu, Baginda meluruskan kembali kefahaman berhubung usaha menegakkan agama yang berasal daripada kuasa mutlak Raja-Raja Melayu.

Laksana amanah

“Amalan ini tidak jauh bezanya daripada kelaziman pemerintahan Khalifah Usmaniyah, yang sangat mementingkan hubungan rapat di antara Sultan dan Syeikhul Islam atau muftinya, malah turut menyantuni pemimpin agama-agama lain yang bernaung di bawah pemerintahannya.

“Bahkan amalan ini masih diteruskan di negara-negara Islam yang mengamalkan pemerintahan beraja sehingga ke hari ini seperti di Maghribi, Jordan dan Brunei,” titah Sultan Sharafuddin di Istana Melawati, Putrajaya.

Bagi menjalankan amanah Majlis Raja-Raja, MKI mengguna pakai Peraturan-Peraturan MKI 2022 bagi memperjelaskan garis panduan berkenaan struktur majlis tersebut termasuk ahli lantikan.

MKI juga diberi mandat menubuhkan empat jawatankuasa bagi menjalankan peranannya iaitu muzakarah (urusan fatwa), pendidikan Islam, pengurusan hal-ehwal Islam dan perundangan Islam.

Berdepan dengan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam, dalam majlis menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Jun, Baginda sebagai pengerusi MKI menegaskan isu itu diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Beta juga menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini,” titah Baginda.

Pada mesyuarat ke-70 pada 28 Ogos, MKI membangkitkan isu-isu penting yang melanda negara dan umat Islam. Selain kalimah Allah, titah Sultan Sharafuddin berhubung enakmen syariah, pusat tahfiz, rukyah dan industri halal.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Tegas demi kesejahteraan

Baginda melihat wujudnya kesalahan jenayah syariah tercabar dan boleh menjejaskan bidang kuasa mahkamah syariah. Susulan, MKI mencadangkan jawatankuasa khas dibentuk bagi membuat kajian mendalam.

Berdepan dengan fitnah banyak sekolah tahfiz di Selangor akan ditutup, Baginda bertitah agar “polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.”

Tegas Baginda, pemutihan sekolah agama persendirian yang tidak berdaftar segera berbuat demikian demi menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar susulan kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur pada 2017.

Baginda juga berasa dukacita dengan pertikaian kaedah rukyah (kaedah melihat anak bulan) dalam menetapkan tarikh awal Ramadhan dan Syawal. Jakim disaran mengeluarkan ketetapan muktamad berkaitan kaedah penentuan tarikh tersebut.

Ketegasan Tuanku berhubung tauliah mengajar dalam kalangan mereka yang aktif berpolitik dan tidak layak memberi kelegaan kepada rakyat. Titah Baginda ini diulang lagi pada istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac lalu.

“Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku.”

Pada istiadat itu, Baginda juga bertitah agar rumah Allah tidak dijadikan ruang sengketa politik sehingga umat berpecah-belah.

“Di dewan ini Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.”

Baginda mengulangi titah yang sama ketika merasmikan Masjid Al-Ma’arufiah, Sungai Air Tawar pada 14 April semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat di Sabak Bernam.

Sultan Sharafuddin yang memayungi Islam di seluruh jajahan Selangor tidak terikat dengan tugas rasmi di pejabat semata-mata. Baginda menunjukkan keindahan Islam melalui urusan muamalah bersama rakyat jelata setiap masa.

Bersama-sama menunai solat Jumaat, Baginda sering menyampaikan sumbangan khususnya ketika Ramadan, berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid. Baginda turut merasmikan beberapa masjid baharu tahun ini.

Untuk menjamin rumah Allah ditadbir dengan baik, Baginda berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid seluruh negeri di Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac.

Pada 2 Mei pula, Baginda berkenan menerima peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM56 juta (foto) untuk bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir, guru kelas al-Quran, serta Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).

MKI memutuskan bahawa penyaluran dana itu dibuat melalui ketua agama negeri sebelum disalurkan kepada jabatan agama Islam. Amalan sebelum ini ia diserahkan kepada menteri besar.

Selaku ketua agama, Tuanku juga berkenan menerima zakat perniagaan daripada beberapa syarikat bernilai jutaan ringgit sepanjang Ramadan tahun ini untuk kebajikan asnaf.


Pengarang :