Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan utama persaudaraan umat, tegaskan masjid bukan medan politik kepartian

SHAH ALAM, 9 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sentiasa mementingkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam di negeri ini sejak menduduki tampuk pemerintahan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertegas mahu masjid bebas dari sebarang elemen politik dan tidak dijadikan medan serta propaganda kepartian, tulis Selangor Royale Office di Facebook.

“Baginda prihatin terhadap pelaksanaan prinsip Islam, ancaman yang boleh menggugat kesucian agama selain memastikan umat Islam sentiasa memperkukuhkan kekuatan dan kesatuannya.

“Semua perkara-perkara ini telah dilaksanakan dengan penuh pertimbangan, kesaksamaan dan adil kepada semua rakyat. Antaranya, Baginda mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor supaya mempertahankan penggunaan kalimah Allah.

“Baginda tegas mengingatkan rakyat bukan beragama Islam supaya akur dan patuh terhadap larangan yang diperuntukan bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1988),” katanya.

Sultan Selangor juga sentiasa prihatin dalam mengukuh perpaduan umat Islam di samping menjaga keharmonian masyarakat dan perkara itu sering disampaikan menerusi khutbah.

Semalam Sultan Sharafuddin diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan ke majlis bacaan Yassin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-78.

Baginda juga menunaikan solat Jumaat dan turut beramah mesra dengan jemaah selepas selesai bersolat.


Pengarang :