Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

Taman Sentosa dijangka capai status bandar menjelang tengah tahun depan

SHAH ALAM, 12 DIS: Taman Sentosa, Klang yang dihuni lebih 30,000 penduduk dijangka mencapai status bandar menjelang pertengahan tahun depan.

Wakil rakyat Sentosa berkata proses perbincangan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang berjalan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Dr G Gunaraj memaklumkan garis panduan pembangunan kemudahan seperti pusat komersial, bank dan hospital turut dirangka bersama pihak berkaitan.

“Mungkin selepas pengisytiharan MPK sebagai bandaraya (status Taman Sentosa akan bertukar kepada bandar) memandangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang buat persiapan ke arah itu.

“Jika PBT bawa perkara ini dalam agenda mereka termasuk mendapat ulasan semua jabatan, dalam enam bulan boleh selesai (status naik taraf bandar). Saya beri masa kerana ia bukan perkara tergesa-gesa tetapi mustahak,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau percaya minda dan pemikiran masyarakat akan berubah sebaik Taman Sentosa yang mempunyai 25 taman perumahan di dalamnya mencapai status tersebut.

Gunaraj turut menjangkakan berlaku lonjakan harga rumah di kawasan terbabit selain rakyat menikmati prasarana lebih selesa termasuk tiada lagi isu banjir.

“Taman Sentosa memilik sejarah tersendiri suatu ketika dahulu, tetapi lima tahun kebelakangan ini banyak perubahan berlaku hasil bantuan masyarakat. Sebab itu kita mahu jayakan matlamat ini.

“Saya juga meminta penduduk supaya memainkan peranan untuk memastikan kawasan Taman Sentosa sentiasa bersih dan hijau sebaik bertukar status bandar,” katanya lagi.

Taman Sentosa antara kawasan bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang mempunyai penduduk paling ramai berbanding Bandar Botanic, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Putera dan Bandar Puteri.


Pengarang :