Suasana di taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat ketika tinjauan pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Taman tema air SplashMania dan Sekinchan terus jadi tumpuan pelancong

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 27 DIS: Taman tema air SplashMania di Gamuda Cove, Kuala Langat yang dibuka awal tahun ini menjadi antara lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa, kata Tourism Selangor.

Menerima 75,000 pelawat setiap bulan, pengurus komunikasi korporatnya menjelaskan taman tema sentiasa menjadi pilihan ramai terutama ketika hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Menurut Ahmad Nazri Tashriq Rahmat, lokasi lain yang popular termasuk pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Sungai Panjang dan Sekinchan, Sabak Bernam serta Bukit Malawati di Kuala Selangor.

“Kunjungan ramai ke lokasi tersebut berikutan trend pelancongan di Selangor yang terdiri daripada tarikan gastronomi, ekopelancongan, sukan lasak dan taman tema.

“Kebanyakan pusat pelancongan juga turut menyediakan kemudahan lengkap termasuk pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan Bas Smart Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menjangka kempen promosi pelancongan tempatan dan antarabangsa yang giat dijalankan
Tourism Selangor sepanjang tahun ini akan terus menarik kehadiran pengunjung.

Pada 20 Disember, EXCO pelancongan berkata kempen pelancongan global “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!” akan diteruskan ke beberapa negara bagi menarik ketibaan pelancong asing ke negeri ini.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, misi promosi produk pelancongan itu sejajar Tahun Melawat Selangor 2025 membabitkan negara seperti China, Indonesia, Singapura, Jepun, India, Laos dan Jerman.

 


Pengarang :