Keadaan tanah runtuh di Taman Wawasan Puchong berdasarkan tinjauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia pada 20 Disember 2023. Foto Facebook Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tanah runtuh di Taman Wawasan, kerja pasang cerucuk siap lebih 40 peratus

SUBANG JAYA, 22 DIS: Kerja pemasangan cerucuk di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong mencapai tahap 40.26 peratus setakat semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kerja tersebut akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan bagi menstabilkan tanah selain mengelak runtuhan baharu berlaku.

“Itu tindakan awalan dan segera bagi menahan runtuhan berikutnya berlaku. Apabila kerja awalan tersebut yang dijangka selesai Ahad, barulah kita pergi kepada kerja untuk memulihkan cerun yang telah runtuh.

“MBSJ juga berjaya mengeluarkan empat kereta yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSJ di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains untuk menentukan punca runtuhan seterusnya merangka tindakan seterusnya berdasarkan laporan itu.

“Selepas dapat laporan barulah kita tentukan bagaimana untuk pastikan perkara ini tidak berulang. Ada tiga kerja utama selepas ini iaitu baiki cerun, hubungkan semula jalan di hadapan rumah yang terkesan dan (baiki) longkang monsun,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini  pemilik rumah yang terjejas belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan menumpang di rumah saudara-mara atau rakan.

“(Kebenaran) Itu akan diumumkan oleh Pengerusi Bencana Daerah Petaling (merangkap) Pegawai Daerah,” katanya.

Sabtu lalu, 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Pengarang :