Kerja-kerja pemasangan cerucuk besi dibuat bagi mengawal pergerakan tanah susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan, Puchong pada 16 Disember 2023. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Tanah runtuh: Kerja pemasangan besi cerucuk giat dilaksanakan, elak pergerakan tanah

SHAH ALAM, 17 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sedang giat melaksanakan kerja pemasangan besi cerucuk di kawasan terjejas tanah runtuh dekat perumahan Taman Wawasan, Puchong bagi mengelak pergerakan tanah.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan kerja-kerja pengukuhan tebing juga akan dilakukan segera menggunakan kaedah sheet pilling.

“Datuk Bandar telah mengarahkan tindakan segera dan jangka panjang diambil iaitu menutup sementara kawasan runtuhan dengan kanvas dan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing,” menurut kenyataan.

Tambah MBSJ, siasatan dan kajian tanah juga akan dilaksanakan segera untuk menentukan reka bentuk pembinaan semula tebing runtuhan.

Semalam, tujuh rumah teres di Jalan Wawasan di Puchong terpaksa dikosongkan selepas berlaku tanah runtuh di hadapan sebuah daripada rumah berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian jam 7.26 malam itu melibatkan kawasan seluas 50 meter.

Sebuah kereta jenis Honda yang diletakkan di hadapan rumah, bagaimanapun tiada mangsa terlibat.

Susulan kejadian, Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Laman Puteri 3, Puchong bagi menempatkan mangsa yang terjejas.


Pengarang :