Kontraktor melakukan kerja baik pulih tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh: Laporan status keselamatan penghuni diperoleh selepas pemasangan cerucuk besi

SUBANG JAYA, 19 DIS: Laporan awal siasatan status keselamatan penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong di sini yang terkesan susulan tanah runtuh akan diperoleh sebaik selesai kerja pemasangan cerucuk besi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata pemasangan cerucuk besi yang giat dilaksana ketika ini dijangka selesai dalam tempoh dua minggu bergantung keadaan cuaca.

“(Siasatan keselamatan) masih lagi dalam peringkat kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya serta Jabatan Kerja Raya bahagian cerun.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan bercakap kepada media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tempoh untuk kontraktor melakukan (pemasangan cerucuk) dua minggu dan terpulang kepada cuaca juga. Selepas selesai (pemasangan cerucuk), penilaian semula akan dibuat oleh jabatan berkaitan.

“(Penilaian) sama ada penduduk yang diarah berpindah sebelum ini selamat atau tidak untuk kembali ke rumah masing-masing. Jika kita rasakan kawasan ini tidak selamat, jabatan berkaitan akan maklumkan kepada penduduk,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan 74 cerucuk besi berukuran sembilan dan 12 meter dipasang di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 setakat petang ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan bersama pelbagai agensi kerajaan meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Berdasarkan perkiraan, sebanyak 375 batang besi diperlukan (menstabilkan tanah) dengan jarak 150 meter. Jadi ada masa lagi untuk mereka buat kerja mitigasi selain berharap cuaca berpihak kepada kita,” katanya.

Anbalagan turut memberitahu tiada pergerakan signifikan dikesan di kawasan runtuhan setakat ini dan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kediaman terjejas tidak perlu bimbang.

“Bagaimanapun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat, mungkin akan ada sedikit pergerakan kerana tanah itu masih tidak stabil. Tetapi berdasarkan laporan, tidak ada pergerakan signifikan berlaku,” katanya lagi.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan 29 penghuni di sembilan rumah diarah berpindah atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan bersama pelbagai agensi kerajaan meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :