Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan bersama pelbagai agensi kerajaan meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanah runtuh: Penduduk berhampiran bimbang, tidak dapat tidur lena

SUBANG JAYA, 20 DIS: Insiden tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 Taman Wawasan Puchong di sini pada Sabtu yang menjejaskan sembilan kediaman membimbangkan penduduk berhampiran.

Kejadian luar jangka susulan hujan lebat berterusan mengakibatkan penduduk yang menetap berdekatan deretan rumah terbabit tidak dapat tidur lena sehingga ke hari ini.

Low Mee Yeng, 69, berkata dia sekeluarga masih trauma dengan insiden yang pertama kali berlaku di kawasan terbabit sejak menetap di situ pada 1999.

Low Mee Yeng, 69

“Pada malam kejadian, memang kami sekeluarga tidak dapat tidur dan berjaga sampai pagi. Malah sampai ke hari ini, memang sukar tidur waktu malam kerana bimbang jadi apa-apa terutama ketika hujan lebat.

“Sekarang pun masih berhati-hati kerana hujan kerap turun waktu petang, apatah lagi kerja pemasangan cerucuk besi untuk menstabilkan tanah belum selesai,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, May Yong Seuh, 43, menganggap peristiwa terbabit sebagai pengalaman mengerikan sejak menetap di situ lima tahun lalu.

May Yong Seuh, 43

“Setiap kali hujan saya akan bangun sebab risau sekiranya berlaku lagi tanah runtuh. Lagipun jarak rumah dengan lokasi kejadian sangat dekat.

“Kami sekeluarga bernasib baik kerana rumah tidak terjejas. Cuma takut juga jika struktur tanah itu masih tidak kukuh walaupun pihak berkenaan sedang pasang cerucuk besi,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata penduduk yang tinggal di deretan kediaman terjejas tidak perlu bimbang kerana kawasan mereka diklasifikasi selamat.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan bercakap kepada media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau turut menjelaskan tiada pergerakan tanah luar biasa setakat ini dengan 74 cerucuk besi sudah dipasang di kawasan runtuhan.

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 menyebabkan 29 penghuni di sembilan rumah diarah berpindah atas faktor keselamatan.

Insiden turut menyebabkan empat kenderaan penduduk tertimbus iaitu Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra, namun tiada kemalangan jiwa.

Keadaan tanah runtuh yang turut menyebabkan kerosakan beberapa kereta yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Wawasan 3, Puchong pada 16 Disember 2023. Foto Facebook Ng Sze Han

Pengarang :