Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tanjong Sepat antara tiga lokasi jualan barangan dapur murah esok

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM,27 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di tiga lokasi esok.

Bermula 10 pagi, jualan murah diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana (Teratai), JKR Klang (Selat Klang) dan Kampung Sungai Kelambu (Tanjong Sepat).

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :