Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan senarai ahli jemaah menteri selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 12 Disember 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tarikh penting peristiwa bersejarah negara sepanjang 2023

Pelbagai peristiwa bersejarah tercatat sepanjang 12 bulan lepas. Selain pilihan raya enam negeri dan rombakan kabinet, Kerajaan Perpaduan cuba menstabilkan politik dan merancakkan ekonomi negara.

Dasar baharu diperkenal bagi mereformasi ekonomi. Kerajaan bertambah yakin untuk mengambil tindakan tegas terhadap rasuah. Wartawan NAZLI IBRAHIM menyorot tarikh penting sepanjang 2023.

22 Januari Perdana menteri umum agihan perbelanjaan tahunan serta lantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, antara perkara utama Perjanjian Malaysia 1963

7 Februari Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Perjanjian persefahaman kerjasama dimeterai lima gabungan parti politik iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 16 Disember 2022

13 Februari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan di Parlimen, Anwar menjadi perdana menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Baginda

24 Februari Anwar bentang belanjawan persekutuan 2023 pertama kali. Belanjawan itu tertangguh kerana pilihan raya umum pada November 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024 yang dibacakan ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Parlimen pada 13 Oktober 2023. Foto BERNAMA

18 Mac Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal presiden dan timbalan presiden selepas usul tambahan perhimpunan agung parti itu supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertanding pada pemilihan Umno 2023-2026 dilulus Pendaftar Pertubuhan

14 Mei Pimpinan utama 19 parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan berhimpun pada konvensyen nasional pertama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur

9 Jun Anwar (bekas timbalan presiden Umno) hadir ke perhimpunan agung parti itu selepas 25 tahun disingkirkan pada 1998. Ketua gabungan HARAPAN-BN hadir ke perhimpunan sebagai tetamu kehormat

11 Julai Perdana menteri memaklumkan kerajaan dalam proses merangka dasar anti-Ali Baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi. Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan agensi kerajaan berkaitan

13 Julai Kerajaan Perpaduan cadang laksana Dasar Gaji Progresif. Menerusinya, gaji pekerja seluruh negara ditingkatkan. Dasar dijangka laksana April atau Mei 2024

12 Ogos Pilihan raya enam negeri berlangsung sengit bagaimanapun keputusannya status quo. HARAPAN-BN mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pembangkang

1 September Anwar yang juga menteri kewangan melancar Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP). Pelan itu meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030

9 September Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kekal milik HARAPAN selepas PRK serentak itu dimenangi Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman.

PRK dua kerusi itu diadakan susulan penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai.

GPS juga mengekalkan DUN Jepak dalam PRK pada 4 November susulan kematian Datuk Talib Zulpilip pada 15 September.

Perikatan Nasional (PN) turut kekal di Parlimen Kemaman menerusi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam PRK pada 2 Disember

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, di Pusat Penjumlahan di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada 1 Disember 2023. Foto BERNAMA

11 September Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibentang. Perdana menteri umum peningkatan RM15 bilion untuk siling perbelanjaan rancangan, menaikkan peruntukan RMK12 kepada RM415 bilion.

RMK12 dijajar semula dengan dasar Ekonomi Madani bertujuan memperkasa dan merancakkan ekonomi bagi tempoh 10 tahun

7 Oktober BN kekalkan DUN Pelangai dalam PRK yang diadakan selepas EXCO Pahang Datuk Johari Harun maut nahas udara di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos

9 Oktober Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat berkata dua pasukan petugas khas ditubuh mengkaji pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Turut dibentang Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Akta memastikan tahap ketelusan tinggi dan pengurusan ekonomi lebih bertanggungjawab

13 Oktober Anwar membentang Belanjawan 2024. Disifat belanjawan terbesar, ia memperuntuk RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 billion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka

27 Oktober Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kekal sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Jan 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

28 November Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi pemimpin PN kelima mengisytihar menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Tindakan itu dimulakan ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober, diikuti Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan, 30 Oktober), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang, 7 November) dan Zahari Kechik (Jeli, 8 November)

11 Disember Malaysia mengheret penimbang tara Sepanyol yang dilantik secara tidak sah, Dr Gonzalo Stampa ke Mahkamah Jenayah Madrid atas dakwaan menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Terdahulu kerajaan berjaya mengenepikan tuntutan kumpulan Sulu di Mahkamah Luxembourg (24 Januari), Mahkamah Perlembagaan Sepanyol (2 Februari) dan Mahkamah Perancis (16 November) sekali gus melindungi harta, hak dan kedaulatan negara

12 Disember Kabinet Kerajaan Perpaduan dirombak. Bilangan Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang. Selain perubahan portfolio, empat pemimpin ditambah antaranya Gobind Singh Deo dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

18 Disember Menara Ilham setinggi 60 tingkat di Jalan Binjai, Kuala Lumpur dipercayai milik keluarga Daim disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu untuk mengelakkan tindakan yang boleh mengganggu siasatan atas kesalahan rasuah dan penggubahan wang haram

20 Disember Syarikat perkapalan Israel, ZIM dilarang berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia

23 Disember Lima syarikat pengisar makanan ayam didenda RM415.5 juta mengikut Akta Persaingan 2010 kerana membentuk kartel menetap harga makanan ayam yang berpotensi mengganggu pasaran.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti terhadap Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd; FFM Berhad; Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd; Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd


Pengarang :