Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan senarai ahli jemaah menteri selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 12 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga bekas menteri kembali sertai Kabinet

SHAH ALAM, 12 DIS: Tiga bekas menteri kembali menganggotai barisan jemaah menteri dalam rombakan pertama kerajaan perpaduan bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media hari ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kembali memegang portfolio lamanya sebagai menteri kesihatan, yang pernah dijawat dari 2018 hingga 2020.

Ahli parlimen Kuala Selangor itu menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang kini memegang jawatan baharu sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo pula dilantik sebagai menteri digital. Timbalan pengerusi DAP itu pernah memegang portfolio menteri komunikasi dan digital dari 2018 hingga 2020.

Sementara itu, wakil rakyat Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani dilantik sebagai menteri perladangan dan komoditi yang sebelum ini disandang Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof.

Naib presiden Umno itu pernah memegang jawatan menteri kewangan kedua dari 2016 hingga 2018 dan timbalan menteri kewangan antara 2015 hingga 2016.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Steven Sim Chee Keong sebagai menteri sumber manusia, manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik senator memegang jawatan menteri kewangan II.

Tiga nama yang digugurkan ialah V Sivakumar (menteri sumber manusia), Ramkarpal Singh (timbalan menteri undang-undang) dan Datuk Siti Aminah Aching (timbalan menteri perladangan dan komoniti).

Berdasarkan pengumuman baharu itu, jumlah jemaah menteri meningkat daripada 28 ke 31 orang, manakala timbalan menteri (27 ke 29 orang) dengan jumlah keseluruhan 60 orang.


Pengarang :