Pengurus Jabatan Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor Faroul Mustaffa bercakap kepada media selepas majlis penutup Kejohanan Golf kali ke-5 anjuran Tourism Selangor di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tourism Selangor perkenal pakej sukan golf, pelancongan perubatan

PETALING JAYA, 3 DIS: Tourism Selangor bakal memperkenal pakej pelancongan sukan golf dan pelancongan perubatan sempena Tahun Melawat Selangor tahun depan.

Pengurus Jabatan Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor berkata pakej yang menggabung dua kategori itu mampu meningkatkan kedatangan pengunjung domestik dan antarabangsa.

“Selangor merupakan negeri yang memiliki padang golf terbanyak di Malaysia dengan jumlah padang golf mencecah sehingga 29 buah yang boleh diketengahkan oleh pihak kami.

“Kita juga optimis pakej yang akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan dan luar negara,” Faroul Mustaffa.

Beliau ditemui pada majlis penutup Kejohanan Golf Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini. Majlis itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program berasingan pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta sempena majlis penutup Kejohanan Golf kali ke-5 anjuran Tourism Selangor di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 3 Disember 2023. Foto Tourism Selangor

Kejohanan golf yang memasuki tahun kelima penganjurannya disertai lebih 100 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pengamal media.

Dalam pada itu, Faroul mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat dan kerajaan untuk bersama menganjurkan kejohanan golf yang lebih besar pada tahun depan.

“Kejohanan ini merupakan antara acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan golf dan kita berhasrat untuk adakan dalam skala yang lebih besar pada masa akan datang.

“Jika kita dapat bekerjasama dengan agensi lain seperti sektor korporat atau kerajaan, ianya lebih baik. Ia memberi kelebihan dan sekali gus dapat menarik kehadiran pelancong ke Selangor,” katanya.


Pengarang :