EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim melawat reruai makanan pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tradisi sambutan perayaan pelbagai budaya erat perpaduan rakyat

PETALING, 17 DIS: Tradisi sambutan perayaan pelbagai budaya di negeri ini bukan saja mampu mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan malah mendekatkan lagi pemimpin dengan rakyat di peringkat akar umbi.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri percaya semangat perpaduan dan keharmonian yang ada di Selangor mampu menyemarakkan lagi ekonomi negeri terutamanya bagi sektor pelancongan.

Orang ramai mengambil gambar bersama santa klaus pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sambutan perayaan Krismas pada malam ini melambangkan perpaduan yang terus erat dan kukuh antara rakyat dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ke arah keharmonian Selangor sebagai sebuah negeri yang maju,” katanya.

Berucap pada sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) malam tadi Suee Lim berkata sejumlah RM4.5 juta diperuntuk Kerajaan Negeri tahun depan bagi menyemarak semangat perpaduan dalam kalangan rakyat melalui Gagasan Rumpun Selangor.

“Gagasan Rumpun Selangor akan melibatkan program seperti karnival dan Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor di kesemua sembilan daerah negeri ini.

Orang ramai hadir pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri komited dalam menyediakan pelbagai inisiatif serta program berbentuk perpaduan di Selangor yang akan kerap dilaksanakan di setiap daerah.

“Ini akan membolehkan masyarakat majmuk saling bersatu-padu bagi mencapai keharmonian walaupun wujud kepelbagaian latar belakang,” katanya.


Pengarang :